Pokok jambu batu sentiasa menghijau, rendang, berakar cetek seperti pokok renek dan mempunyai percabangan terbuka. Pokok ini boleh mencapai ketinggian dan lebar kanopi sehingga 6-9 m dalam persekitaran berkelembapan tinggi. Batangnya pendek, mula bercabang dari pangkal pokok. Kulit nya licin, mengelupas dan berwarna perang kehijau-hijauan hingga ke warna perang.
Daun
Daun tersusun berpasangan bentuknya bujur panjang atau bujur telur. Licin pada permukaan atas daun dan terdapat rerambut halus pada bahagian bawah permukaan daun. Ukuran panjang daun lebih kurang 10-18 cm. Daun yang diramas mengeluarkan bau yang harum.
Bunga
Bunga jambu batu keluar secara tunggal atau berkelompok (2-3 kuntum/kelompok) pada ketiak daun pada pertumbuhan semasa atau sebelumnya. Bunganya dwiseks, bergarispusat 3.5 cm, warna putih dengan empat atau lima petal. Bunga jambu ini bersenyawa sendiri tetapi kerap juga berlaku pendebungaan silang. Biasanya bunga kembang antara pukul 5 hingga 7 pagi, bergantung pada kultivar dan suhu persekitaran pada waktu pagi.
Buah
Saiz buah berbagai-bagai, dari 2.5 cm hingga 10 cm garispusat. Bentuk buah bulat, bujur telur, bulat memanjang atau seperti buah pear. Kulit buah berwarna kuning apabila masak tetapi isinya boleh jadi merah jambu, jingga, putih atau kuning. Tekstur kulit ada yang kasar dan ada yang licin. Biji jambu ini biasanya banyak terletak dalam pulpa, berwarna kuning dan 3-5 mm panjang.
Pertumbuhan dan pembesaran
No comments:
Post a Comment